Thursday, February 18

TANGGUNGJAWAB LELAKI, MANA LEBIH UTAMA

Minggu lepas, saya dah bincangkan mengenai keutamaan ketaatan seorang wanita bergelar isteri. Minggu ini, saya ingin bincangkan pula mengenai keutamaan tanggungjawab seorang lelaki yang memegang status seorang anak dan pada masa yang juga adalah seorang suami dan seorang bapa kepada seseorang. Sebenarnya, saya telah pun bincangkan mengenai perkara ini di dalam siri keluaran tanggal 19 Mei tahun lepas bertajuk Hak Ibu Bapa Tanggungjawab Anak-anak. Namun, saya utarakan semula topik ini memandangkan terdapat beberapa permintaan daripada pembaca yang mungkin terlepas perbincangan saya yang lalu. Sementelah pula, kes-kes yang melibatkan kekeliruan seorang lelaki melaksanakan tanggungjawab antara ibu bapa dan isteri serta anak-anak sendiri makin banyak berlaku, malah makin kerap pula saya menerima aduan kes-kes ini sejak kebelakangan ini.

Seperti yang saya jelaskan pada minggu lepas, syurga seorang anak lelaki terletak di bawah tapak kaki ibu, bermula daripada kelahirannya hinggalah tika menghembuskan nafas yang terakhir. Dalam erti kata yang mudah, ibu adalah segala-galanya. Seorang anak lelaki perlu mengutamakan kehendak dan kemahuan seorang ibu berbanding kehendak seorang isteri dan anak-anak. Sebagai contoh, jika seorang ibu menginginkan anak lelakinya pulang ke kampung berhari raya bersama-sama dan pada masa yang sama, isteri kepada anak lelakinya juga menginginkan perkara yang sama, ingin berhari raya bersama ibu dan bapanya di kampung, lelaki yang berada di dalam situasi seperti ini perlu mengutamakan kehendak si ibu. Kenapa? Kerana permintaan si ibu tidak menyalahi kehendak syarak dan syariat. Namun, jika seorang ibu menyatakan kehendak yang boleh menyalahi kehendak syariat maka si anak tidak wajib melaksanakannya.

Persoalannya, apakah kehendak si ibu yang menyalahi kehendak syariat? Rata-rata kes yang saya terima adalah berkaitan kegagalan suami menjalankan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan juga seorang ayah kerana mengikut kehendak ibu, bapa dan adik-beradik sendiri. Malahan ada beberapa kes, isteri terpaksa mengeluarkan duit hasil pendapatannya sendiri semata-mata terpaksa membantu suami melunaskan kehendak dan keinginan keluarga mertua. Secara logiknya, kes-kes seperti ini tidak wajar berlaku jika setiap anak lelaki dan setiap ibu bapa serta sanak saudara lainnya mengetahui had dan batasan kewajipan dan hak-hak mereka.

Mungkin ada di kalangan pembaca yang kurang pasti, apakah perbezaan antara kewajipan dan hak? Kewajipan adalah tanggungjawab yang merupakan perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi memenuhi hak seseorang. Sementara hak pula adalah perkara yang hanya boleh diperolehi apabila seseorang menjalankan kewajipannya. Sebagai contoh, hak seorang isteri adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang suami. Hak seorang ibu juga adalah kewajipan yang perlu dilakukan oleh seorang anak. Namun, bukan semua hak ibu adalah kewajipan anak-anak. Tambahan pula bagi anak lelaki yang sudah berumahtangga. Kewajipan seorang anak lelaki adalah untuk menunaikan hak-hak isteri dan anak-anaknya terlebih dahulu barulah berkewajipan menunaikan hak seorang ibu. Kenapa? Kerana hak seorang ibu itu sewajarnya dipenuhi oleh suami si ibu iaitu bapa si anak. Jika suami si ibu tiada lagi atau tidak mampu, maka anak-anak lain yang tidak mempunyai kewajipan terhadap isteri dan anak-anaknya sendiri berkewajipan menunaikan hak ibu mereka.

Bererti,
walaupun seseorang itu adalah anak lelaki sulung atau tunggal dan telah berumahtangga serta mempunyai anak-anak sendiri, lelaki ini MEMPUNYAI KEUTAMAAN UNTUK MENUNAIKAN HAK-HAK ISTERINYA DAN ANAK-ANAKNYA TERLEBIH DAHULU berbanding hak ibu bapanya atau adik beradiknya yang lain. Perlu diingat juga, hak yang dimaksudkan adalah apa-apa perkara yang merupakan KEPERLUAN sahaja, bukan kemewahan atau kehendak yang melampau. Seorang suami berkewajipan menunaikan hak-hak yang patut dan wajar bagi seorang isteri dan anak-anak: menyediakan makan minum yang berpatutan dan sederhana; menyediakan tempat tinggal yang sempurna memadai dapat berlindung daripada panas matahari dan kebasahan hujan; menyediakan pakaian yang mampu menutup aurat; memberikan pendidikan yang dituntut oleh syariat merangkumi ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah serta menyediakan kemudahan untuk isteri dan anak-anak mendapatkan rawatan jika mempunyai masalah kesihatan. Keperluan bukanlah perlu menyediakan hidangan KFC atau pizza setiap hari; bukan juga perlu menyalutkan tubuh si isteri dengan pelbagai perhiasan emas dan permata yang begemerlapan. Bermaksud, walaupun seorang lelaki itu mempunyai harta yang tidak menafikan keupayaannya untuk memberikan kemewahan kepada isteri dan anak-anak dan di dalam masa yang sama dia mempunyai ibu, bapa dan adik-adik yang juga memerlukan bantuannya untuk menjalani hidup yang sederhana tetapi lebih sempurna maka di dalam situasi ini, lelaki tersebut wajar dan wajib membantu ibu, bapa dan adik-beradiknya yang memerlukan walaupun perlu mengenepikan tuntutan isteri kerana tuntutan sedemikian bukan lagi menjadi hak yang perlu tetapi adalah sesuatu yang melampau.

Hakikatnya, setiap individu mempunyai hak dan kewajipan masing-masing. Hak seseorang juga adalah terbatas tertakluk kepada kepentingan dan keutamaan kewajipan seseorang. Lantas, jalan terbaik ialah bersikap bersedia menerima kesederhanaan, sanggup berkongsi dan bertoleransi. Kepada para isteri, ingatlah: suami anda adalah anak kepada seorang wanita, juga seperti anda yang akan menjadi mertua kepada seorang wanita lain bila tiba masanya nanti. Kepada para ibu, ingatlah: anak lelaki anda adalah suami kepada seorang wanita yang juga mempunyai hak sebagai seorang isteri sama seperti anda. Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insyaAllah.


4 comments:

  1. dalam maksudnyer kan..harus difikir2 fikirkan

    ReplyDelete
  2. oh kita sebagai isteri ni kekadang dlm di lema kan...? alhamdulillah dpt mak mertua n asben yg sungguh memahami.

    ReplyDelete
  3. maksud yg dalam
    kena amalkan apa yg baik

    ReplyDelete

Copyright to BIJAK PILIH SUPLEMEN ANDA
Designed by UMIESUEstudio 2015